fb fb fb fb fb

Tenis Terbuka Berlin: Rybakina dan Shnaider mara ke pusingan kedua

Foto REUTERS

BERLIN, 18 Jun –  Bekas Juara Wimbledon, Elena Rybakina menempah tempat ke pusingan kedua Berlin Open pada Selasa dengan kemenangan 6-3, 7-6(3) ke atas pemain Amerika Syarikat, Ashlyn Krueger.

Krueger yang berusia 21 tahun memberi tentangan sengit apabila berjaya mematahkan servis Rybakina dua kali dan memaksa perlawanan ke penentuan tie-break di set kedua.

Namun, bekas pemain nombor tiga dunia itu akhirnya menamatkan perlawanan dengan kemenangan.

Sementara itu, pemain muda Rusia berusia 21 tahun, Diana Shnaider menewaskan Donna Vekic dari Croatia 6-2, 6-4 untuk mara ke pusingan kedua menentang juara Wimbledon 2023, Marketa Vondrousova.

Pemain kidal itu bermula garang dengan memenangi empat permainan pertama dan menutup set pembukaan dengan mata set keempat sebelum Vekic sempat memberi respon.

Di set kedua, Vekic memberi sedikit tentangan apabila meraih ‘break’ awal, namun Shnaider segera membalas dengan dua ‘break’ berturut-turut.

Pemain ranking ke-12 dunia itu mengawal permainan dengan pukulan bertenaga, mendahului 5-4 dan menamatkan perlawanan dengan ‘break’ ke atas servis lawan.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD