SEATTLE, 18 Jun-River Plate memulakan kempen Piala Dunia Kelab mereka dengan kemenangan 3-1 ke atas Urawa Red Diamonds pada Selasa.
Jaringan daripada Facundo Colidio, Sebastian Driussi dan Maxi Meza sudah cukup untuk mematikan cabaran daripada pasukan Jepun itu.
Pasukan Argentina itu mendominasi perlawanan dan menjaringkan gol pertama selepas 12 minit perlawanan berlangsung apabila Colidio menyudahkan hantaran lintang daripada Marcos Acuna di sebelah kiri.
Urawa hampir menyamakan kedudukan sebelum rehat, dengan gol Marius Hoibraten dibatalkan kerana ofsaid.
River Plate terus menggandakan kedudukan tiga minit selepas separuh masa kedua bermula menerusi Driussi yang bijak menyungkit bola melepasi penjaga gol Shusaku Nishikawa hasil kesilapan Hoibraten.
Urawa berjaya merapatkan jurang menerusi Yusuke Matsuo yang tenang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-58.
River Plate mengesahkan kemenangan selepas pemain gantian Meza menjaringkan gol ketiga pada minit ke-73.
River Plate akan menentang wakil Mexico Monterrey dari Mexico pada Sabtu, manakala Urawa akan bertemu naib juara Liga Juara, Inter Milan dalam Kumpulan E.-REUTERS.