fb fb fb fb fb

Piala Dunia Kelab: Sundowns ungguli kumpulan F selepas benam Ulsan

Foto REUTERS

ORLANDO, Florida, 18 Jun– Juara Afrika Selatan, Mamelodi Sundowns, mencatat kemenangan sulung mereka dalam saingan Piala Dunia Kelab pada Selasa setelah penyerang Iqraam Rayners menjaringkan gol tunggal ketika menang 1-0 ke atas kelab Korea Selatan, Ulsan HD.

Gol kemenangan Rayners hadir sembilan minit sebelum rehat di Stadium Inter & Co dalam satu perlawanan yang tertangguh lebih sejam akibat ancaman kilat.

Kedua-dua pasukan telah bersedia untuk memulakan perlawanan sebelum pengadil dari Perancis, Clement Turpin, mengarahkan mereka kembali ke bilik persalinan sebagai langkah berjaga-jaga.

Jaringan itu hasil gerakan cantik pemain tengah Brazil, Lucas Ribeiro, mencipta hantaran menembusi benteng Ulsan untuk Rayners menolak bola ke dalam gawang.

Pada perlawanan berkenaan, Sundowns hampir membuka jaringan seawal 20 saat pertama selepas beberapa hantaran menarik membuka ruang buat Ribeiro, namun cubaan beliau disekat pertahanan Ulsan.

Ulsan pula lebih banyak menanti peluang melalui serangan balas dan hampir menjaringkan gol pada minit keempat apabila Erick Farias, pemain Brazil mereka, gagal menyudahkan peluang terbuka di hadapan gol.

Kemenangan itu meletakkan naib juara Liga Juara CAF bulan ini di kedudukan teratas Kumpulan F, selepas Borussia Dortmund diikat 0-0 oleh Fluminense dalam satu lagi perlawanan.

Ia turut menjadi kemenangan pertama oleh kelab Afrika dalam format baharu kejohanan 32 pasukan yang berlangsung di Amerika Syarikat, selepas Al Ahly dari Mesir seri dalam aksi pembukaan mereka dan Esperance dari Tunisia tewas kepada Flamengo pada Isnin.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD