LONDON, 18 Jun-Keputusan memecat pengurus Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou selepas membawa Tottenham Hotspur menjulang trofi utama pertama sejak 2008 merupakan keputusan yang "sukar dari segi emosi", kata pengerusi kelab Daniel Levy, tetapi ia dianggap perlu selepas musim Liga Perdana Inggeris yang mengecewakan.
Postecoglou dipecat awal bulan ini, hanya kira-kira dua minggu selepas membawa Spurs menewaskan Manchester United 1-0 dalam perlawanan akhir Liga Europa, sekali gus menjulang trofi pertama kelab sejak Piala Liga 2008 dan melayakkan mereka ke Liga Juara musim depan.
Namun, Levy menjelaskan bahawa prestasi buruk dalam saingan liga menjadi faktor utama pemecatan jurulatih Australia itu, yang menyaksikan Tottenham menamatkan musim di tangga ke-17 iaitu kedudukan terburuk mereka sejak penyingkiran pada musim 1976-77.
“Saya tidak menyesal melantik Ange, malah saya sangat menghargai sumbangannya.
"Musim pertama kami di bawah kendaliannya berakhir di tangga kelima, dan musim kedua kami sangat gembira dengan kejayaan meraih trofi,” kata Levy dalam satu wawancara yang disiarkan kelab pada Selasa.
“Tapi kami perlu bersaing dalam semua pertandingan, dan kami rasa perubahan diperlukan. Dari segi emosi, memang sukar, tapi kami yakin ini keputusan yang tepat untuk kelab.”
Tottenham minggu lalu melantik bekas pengurus Brentford, Thomas Frank, sebagai pengendali tetap kelima dalam tempoh enam tahun, dan pengurus ke-13 sejak Levy menjadi pengerusi lebih 25 tahun lalu.
“Kegagalan bukan satu pilihan, kami sentiasa dahagakan kejayaan. Dan kerana ia begitu sukar dicapai, keinginan saya untuk berjaya jadi lebih kuat,” tambah Levy.
“Setiap kali kita ada jurulatih baharu, ia permulaan baharu. Sentiasa ada idea berbeza, tapi kami mahu membina ia daripada kejayaan menjulang trofi musim lalu.
“Salah satu perkara yang menonjol tentang Thomas ialah kecerdasannya, kebolehannya berkomunikasi, keperibadiannya yang baik, dan sudah tentu semua aspek teknikal yang sangat penting", katanya.-REUTERS