fb fb fb fb fb

Inzaghi tak kisah dikritik, fokus bersama Al-Hilal

Ketua jurulatih Al-Hilal, Simone Inzaghi / Foto REUTERS

MIAMI, 18 Jun-Bekas jurulatih Inter Milan, Simone Inzaghi,mendedahkan beliau tidak ambil hati dengan kritikan berhubung kontroversi penghijrahannya ke kelab Arab Saudi, Al-Hilal, menjelang penampilan pertamanya bersama kelab itu menentang Real Madrid dalam aksi Piala Dunia Kelab di Miami pada Rabu.

Ketua Pegawai Eksekutif Al-Hilal, Esteve Calzada, mendedahkan kepada BBC bahawa keputusan melantik Inzaghi telah dibuat sebelum kekalahan 5-0 Inter dalam perlawanan akhir Liga Juara menentang Paris Saint-Germain pada 31 Mei, namun ditangguhkan secara rasmi atas permintaan jurulatih itu sendiri.

“Memang kelihatan seperti ia berlaku secara tiba-tiba, tetapi sebenarnya hasil usaha keras, khususnya daripada pengerusi kami yang sejak awal menyatakan Inzaghi adalah pilihan utama,” kata Calzada.

“Beliau sedang bersiap untuk perlawanan penting dan minta kami tangguhkan pengumuman hingga selepas perlawanan akhir.... Keputusan telah dibuat sebelum itu, tetapi belum ditandatangani atas dasar hormat, dan itu memang wajar.”

Inzaghi diumumkan sebagai jurulatih Al-Hilal empat hari selepas perlawanan akhir Liga Juara Eropah. Pendedahan itu mendorong spekulasi dalam media Itali bahawa perpindahan yang bakal berlaku itu mungkin menjejaskan semangat dan prestasi pemain Inter dalam perlawanan penting tersebut.

Dalam sidang media praperlawanan, Inzaghi mengulas tentang perkara itu:

“Hari ini, seperti sepanjang empat tahun saya di Inter, saya dengar dan baca semuanya,” kata beliau.

“Kalau ini harga yang perlu saya bayar untuk empat tahun saya di Inter, saya sedia bayar. Tapi semua itu tidak sebanding dengan segala kebaikan yang saya terima daripada kelab, penyokong, pengurusan, dan para pemain.”

“Saya tahu saya akan merinduinya. Saya akan rindu segalanya termasuk tuduhan yang paling tidak adil sekalipun selama empat tahun ini", katanya.

“Saya benar-benar gembira, saya telah beri segala-galanya, dan bekerja erat dengan kelab dan pengurusan. Dan saya rasa mereka juga, demi kebaikan Inter, sedar bahawa perpisahan ini adalah langkah terbaik, walaupun perit buat semua.”

Inzaghi turut mempertahankan keputusannya meninggalkan bola sepak Eropah untuk menyertai Liga Pro Saudi yang sedang berkembang pesat.

“Saya terima cabaran ini dan keluar dari zon selesa selepas beberapa tahun di Inter. Saya mahu ubah cara berfikir, gaya permainan, dan cuba sesuatu yang baru. Tiada pasukan lain yang saya ingin latih. Sebab itu saya pilih Al-Hilal", katanya. - AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD