IRVINE, 17 Jun- Kelab Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) kembali menjalani sesi latihan di kem latihan mereka di Irvine, California pada Isnin, sehari selepas mencatat kemenangan besar 4-0 ke atas Atletico Madrid dalam aksi pembukaan Kumpulan B Piala Dunia Kelab 2025.
Juara Liga Juara-Juara Eropah itu meneruskan rentak cemerlang mereka dalam perlawanan sulung selepas menjulang trofi Eropah bulan lalu, apabila menundukkan skuad bimbingan Diego Simeone di hadapan lebih 80,000 penonton di Rose Bowl, Pasadena.
Meskipun turun tanpa tonggak utama dan calon Ballon d'Or, Ousmane Dembele yang mengalami kecederaan, PSG tetap tampil garang menerusi serangan seimbang dan empat jaringan berbeza daripada empat pemain.
Kemenangan itu menyaksikan PSG kini mencatat rekod tanpa bolos dalam tiga perlawanan terakhir, dengan agregat jaringan 12-0, termasuk kemenangan 5-0 ke atas Inter Milan dalam aksi akhir Liga Juara-Juara.
PSG akan meneruskan kempen Piala Dunia Kelab mereka menentang juara Brazil, Botafogo, pada Khamis ini sebelum menutup saingan peringkat kumpulan bertemu Seattle Sounders dari Amerika Syarikat pada 23 Jun.-REUTERS