MIAMI, 17 Jun- Selepas Lionel Messi mencuri tumpuan di perlawanan pembukaan Piala Dunia Kelab, Stadium Hard Rock kembali dibanjiri semangat Argentina apabila penyokong Boca Juniors mengubah venue itu menjadi seperti mini Buenos Aires dalam aksi Kumpulan C yang menyaksikan keputusan seri 2-2 menentang Benfica pada Isnin.
Sehari sebelum itu, penyokong Boca sudah pun “memanaskan” suasana di Miami Beach dengan kibaran biru dan emas menjelang debut pasukan kesayangan mereka.
Kedua-dua pasukan menamatkan perlawanan dengan 10 pemain selepas Andrea Belotti (Benfica) dan Nicolas Figal (Boca) dilayangkan kad merah dalam satu aksi tegang yang menyaksikan Benfica bangkit daripada ketinggalan dua gol.
Keputusan seri itu menyaksikan, Boca menghuni tangga kedua Kumpulan C di belakang Bayern Munich yang mengganas membelasah Auckland City 10-0 pada Ahad.
Perlawanan bermula agak kelam-kabut, namun gegak-gempita stadium memuncak pada minit ke-21 apabila hantaran lintang rendah Lautaro Blanco disudahkan Miguel Merentiel untuk gol pembukaan Boca.
Enam minit selepas itu, Boca menambah tekanan ke atas Benfica apabila Rodrigo Battaglia menanduk masuk gol kedua, mengejutkan wakil Portugal yang sebenarnya lebih banyak menguasai permainan sebelum itu.
Benfica kembali ke dalam permainan apabila Nicolas Otamendi dijatuhkan dalam kotak penalti dan selepas semakan VAR, sepakan penalti diberikan. Angel Di Maria tenang menyudahkan sepakan ke arah bertentangan penjaga gol untuk mengurangkan defisit sebelum rehat separuh masa.
Benfica beraksi dengan 10 pemain selepas Belotti dilayangkan kad merah pada minit ke-70 akibat terjahan yang mengenai belakang kepala Ayrton Costa.
Namun, semangat juang Benfica belum luntur. Otamendi menebus kesilapan awal dengan menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-84, memadamkan kelebihan dua gol Boca.
Keputusan itu masih memberi harapan kepada juara enam kali Copa Libertadores itu untuk mara ke peringkat kalah mati sesuatu yang dinantikan ramai, memandangkan penyokong Amerika Selatan dijangka membawa semangat paling membara dalam kejohanan kali ini.
Boca akan berdepan ujian getir menentang Bayern Munich di Miami pada Jumaat, manakala Benfica bakal menentang Auckland City di Orlando.-REUTERS