fb fb fb fb fb

Medvedev mulakan kempen Terbuka Halle penuh gaya

Pemain tenis Rusia, Daniil Medvedev / REUTERS

HALLE, 17 Jun- Pilihan ketiga kejohanan, Daniil Medvedev, mempamer aksi meyakinkan apabila menewaskan pemain tuan rumah, Daniel Altmaier, 6-3, 6-3 dalam pusingan pertama Terbuka Halle pada Isnin, sebagai persiapan menghadapi Wimbledon selepas penyingkiran awal di Terbuka Australia dan Terbuka Perancis.

Bekas juara Terbuka AS itu, yang juga finalis Halle 2022, hanya memerlukan satu jam untuk mencatat kemenangan.

Altmaier sempat menyelamatkan dua mata match point, namun Medvedev tidak melepaskan peluang ketiga untuk menamatkan perlawanan, sekali gus mengorak langkah memburu gelaran gelanggang rumput pertamanya sejak memenangi Terbuka Mallorca 2021.

Dalam satu lagi aksi sengit, pemain Greece, Stefanos Tsitsipas yang tampil tanpa status pilihan buat pertama kali sejak 2018, mengatasi cabaran getir pemain Itali, Luciano Darderi, 6-4, 3-6, 7-6(5).

Tsitsipas memecah servis Darderi untuk mendahului 3-2 sebelum menamatkan set pertama 6-4, namun Darderi bangkit garang di set kedua untuk menang 6-3.

Set penentuan berlangsung sengit tanpa sebarang break, sebelum Tsitsipas akhirnya mengesahkan kemenangan menerusi tie-break selepas empat match point.

Ini merupakan penampilan sulung Tsitsipas bawah bimbingan jurulatih baharunya, Goran Ivanisevic selepas tersingkir di pusingan kedua Roland Garros.

Kini berada di ranking ke-25 dunia, pemain berusia 26 tahun itu sedang berusaha mengembalikan prestasi terbaiknya, dengan Wimbledon kekal sebagai pentas utama yang ingin ditawan, pusingan keempat merupakan pencapaian terbaiknya setakat ini.

Sementara itu, juara Halle 2023, Alexander Bublik tidak berdepan masalah untuk menyingkirkan wakil Perancis, Alexandre Muller 6-4, 6-4. Pemain Kazakhstan itu menyambar peluang break point pada penghujung set pertama dan awal set kedua untuk meraih kemenangan dalam masa tepat satu jam.

Bublik, yang mara ke suku akhir Terbuka Perancis dua minggu lalu sebelum tewas kepada naib juara Jannik Sinner, bakal berdepan sama ada Sinner, juara bertahan Halle atau pemain tuan rumah, Yannick Hanfmann.

Dalam perkembangan lain, naib juara edisi lalu Hubert Hurkacz dari Poland, terpaksa menarik diri akibat kecederaan. Tempatnya dalam undian utama diisi pemain Belanda, Jesper de Jong.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE