fb fb fb fb fb

Piala Dunia Kelab: Botafogo tundukkan Seattle Sounders 2-1

FOTO REUTERS

SEATTLE, 17 Jun- Juara Brazil dan Amerika Selatan, Botafogo memulakan kempen Piala Dunia Kelab dengan langkah kanan apabila menewaskan kelab Major League Soccer (MLS), Seattle Sounders 2-1 dalam aksi Kumpulan B yang berlangsung di Stadium Lumen Field pada Ahad.

Dua jaringan menerusi tandukan pada separuh masa pertama masing-masing oleh Jair Cunha dan Igor Jesus memberikan kelebihan selesa kepada wakil Brazil itu, manakala beberapa aksi cemerlang penjaga gol tuan rumah, Stefan Frei berjaya menafikan peluang Botafogo menambah jaringan.

Seattle kembali merapatkan jurang pada babak kedua hasil tandukan Cristian Roldan yang terbias pertahanan lawan, sekali gus mencetuskan tekanan buat barisan pertahanan Botafogo menjelang penghujung perlawanan.

Bagaimanapun, wakil Amerika Selatan itu kekal tenang dalam situasi getir bagi memastikan tiga mata penuh menjadi milik mereka.

Kemenangan itu meletakkan Botafogo di tangga kedua kumpulan berdasarkan perbezaan jaringan, selepas Paris Saint-Germain membelasah Atletico Madrid 4-0 dalam satu lagi aksi Kumpulan B yang berlangsung lebih awal.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE