ATLANTA, 17 Jun- Jaringan Pedro Neto dan Enzo Fernandez memastikan kemenangan bergaya 2-0 Chelsea ke atas Los Angeles FC dalam saingan Kumpulan D Piala Dunia Kelab yang berlangsung di Atlanta, pada Isnin.
Skuad The Blues terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-34 menerusi gerakan menarik Pedro Neto yang menerima hantaran daripada Nicolas Jackson, sebelum memperdaya pertahanan LAFC, Ryan Hollingshead dan melepaskan rembatan leret menewaskan Hugo Lloris.
LAFC hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-57 menerusi Denis Bouanga, namun percubaannya dari sebelah kiri kotak penalti berjaya diselamatkan penjaga gol Chelsea, Robert Sanchez.
Kemenangan Chelsea dimuktamadkan pada minit ke-79 selepas Liam Delap melakukan hantaran lintang yang disempurnakan Enzo Fernandez dengan rembatan kaki kiri dari jarak dekat untuk gol kedua perlawanan.
Tiga mata penuh diraih, Chelsea bakal berdepan Flamengo di Philadelphia pada Jumaat ini, manakala LAFC pula dijadual menentang ES Tunis di Nashville pada hari sama.
Terdahulu, aksi perlawanan turut menarik perhatian apabila beberapa bahagian tempat duduk dilihat masih kosong menjelang sepak mula pukul 3 petang. Bagaimanapun, FIFA mengesahkan kehadiran rasmi penonton adalah seramai 22,137 orang.-REUTERS