LOS ANGELES, 17 Jun- Selepas dimalukan Paris Saint-Germain di pentas akhir Liga Juara-Juara, Inter Milan kini turun ke Piala Dunia Kelab bukan sekadar untuk bersaing, tetapi mahu menebus maruah yang tercalar di pentas Eropah.
Berpaksikan tenaga baharu bawah jurulatih baharu Cristian Chivu, skuad Nerazzurri menjalani sesi latihan terakhir di Los Angeles semalam, menjelang aksi sulung menentang wakil Mexico, Monterrey, di Pasadena, Selasa ini.
Kekalahan memeritkan 0-5 kepada PSG telah menyaksikan penamatan era Simone Inzaghi, namun buat Alessandro Bastoni dan rakan sepasukan, edisi sulung Piala Dunia Kelab ini adalah pentas ‘restart’ bagi mengembalikan dominasi Inter.
"Selepas final Liga Juara-Juara, ia detik paling sukar buat kami. Tapi inilah bola sepak, kita selalu diberi peluang kedua.
"Kami ada peminat baharu, tenaga baharu. Kami teruja untuk beri segalanya dalam kejohanan ini," ujar pertahanan tengah Alessandro Bastoni.
Piala Dunia Kelab kali ini merupakan edisi sulung melibatkan 32 pasukan dan akan berlangsung hingga 13 Julai di Amerika Syarikat, dengan jumlah keseluruhan hadiah mencecah AS$1 bilion.- REUTERS