fb fb fb fb fb

UPSI rangkul gelaran juara Dragons Cup 2025 di Jerman

Pasukan UPSI yang menjuarai Kejohanan Sepak Takraw Dragons Cup 2025 yang berlangsung di Elmshorn, Jerman.

TANJUNG MALIM, 29 Jun - Pasukan Sepak Takraw Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) muncul juara Dragons Cup 2025 menerusi kejohanan Sepak Takraw Antarabangsa yang berlangsung di Elmshorn, Jerman pada 14 hingga 15 Jun lalu.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr Norkhalid Salimin berkata, pasukan yang terdiri daripada pelajar Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan itu, menewaskan pasukan tuan rumah dalam perlawanan akhir tanpa kalah dalam kedua-dua kategori berdua dan regu.

"Kejayaan ini membuktikan ketahanan mental dan kemahiran teknikal tinggi dalam kalangan pemain UPSI walaupun berdepan lawan yang mempunyai kelebihan fizikal," katanya.

Kejohanan tersebut disertai 17 pasukan dari seluruh Eropah termasuk Perancis, Belgium dan Switzerland.

Dalam pusingan awal, UPSI menumpaskan juara bertahan Universiti Heidelberg, Jerman dengan keputusan 2-0, sebelum menewaskan kelab tempatan Elmshorn 2-0 di final.

Antara pemain yang membawa kemenangan ialah Khairil Adam Kasman, Muhammad Harith Danish Suihimi, Muhammad Hafizudin Hamizi, Fakhruddin Zamri serta Nur Putra Danial Azlan Noor Azlan.

2906 PORTAL SKN UPSI TAKRAW DRAGON 3Pemain yang menyertai Kejohanan Sepak Takraw Dragons Cup 2025.

Majlis pembukaan turut diserikan dengan persembahan kompang dan tarian tradisional oleh pelajar Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI sebagai usaha memperkenalkan budaya Malaysia.

Selain menyertai kejohanan, pasukan turut mengadakan demonstrasi permainan di University of Hamburg dan bengkel di beberapa buah sekolah termasuk Boje Steffenschule, Anne Frank Schule dan KGSE Schule dengan bimbingan bahasa oleh Dr Robe’ah Yusuf serta jurulatih Mohd Fadzlan Ibrahim Shah.

Mohd Fadzlan menyifatkan kejayaan itu sebagai hasil latihan intensif dan strategi terancang, sambil menyuarakan keyakinan terhadap potensi besar pemain UPSI di pentas antarabangsa.

Sementara itu, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Dr Mohd Amir Mohd Zahari berkata, kejayaan ini membuka peluang kerjasama sukan antara Malaysia dan Jerman.

Pasukan UPSI turut mengadakan kunjungan hormat ke Konsulat Malaysia di Jerman serta bertemu wakil pengurusan University of Hamburg bagi membincangkan potensi kerjasama dua hala.

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE