fb fb fb fb fb

Textor undur diri daripada pengurusan kelab Lyonn

Foto REUTERS

PHILADELPHIA, 29 Jun – Ahli perniagaan Amerika Syarikat, John Textor, mengumumkan bahawa beliau akan berundur daripada pengurusan kelab Perancis, Olympique Lyonnais (Lyon), susulan keputusan penyingkiran kelab itu ke Ligue 2 oleh badan pemantau kewangan bola sepak Perancis, DNCG, walaupun menampilkan prestasi cemerlang di padang.

Lyon menamatkan saingan Ligue 1 musim lalu di tempat keenam iaitu kedudukan yang melayakkan mereka ke Liga Europa musim hadapan.

Namun masalah kewangan mengundang tindakan tegas daripada pihak berkuasa bola sepak Perancis.

“Kejayaan kami di atas padang tidak seiring dengan kejayaan di luar padang,” ujar Textor kepada AFP, ketika ditemui di Philadelphia selepas Botafogo, kelab miliknya, tewas 0-1 kepada Palmeiras dalam saingan Piala Dunia Kelab.

Textor, yang memegang jawatan presiden kepada Eagle Football Holdings, sebuah kumpulan pemilikan bola sepak yang memiliki beberapa kelab termasuk Lyon, Botafogo (Brazil), Molenbeek (Belgium) dan bekas pemegang saham besar dalam Crystal Palace (England), mengakui usaha beliau untuk menyelesaikan isu hutang Lyon tidak berjaya meyakinkan pihak DNCG.

“Saya akan menarik diri daripada proses ini. Kami ada rakan kongsi dan individu lain yang akan mengambil alih dan memimpin langkah seterusnya,” katanya.

Beliau menyifatkan kegagalannya meyakinkan DNCG sebagai kegagalan taktikal dalam pengurusan.

“Jika saya ada jurulatih yang masuk ke padang lima kali berturut-turut dengan pelan taktikal yang gagal, saya akan pecat dia.

"Sebagai pemilik majoriti, jelas saya juga gagal dalam hal ini. Maka sudah tiba masa tukar strategi", jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Textor baru-baru ini bersetuju menjual 43 peratus sahamnya dalam kelab Liga Perdana Inggeris, Crystal Palace, kepada pemilik pasukan NFL New York Jets dan bekas Duta AS ke United Kingdom, Woody Johnson, dengan nilai dilaporkan mencecah £190 juta atau (RM1.1 bilion), menurut laporan BBC.

Beliau percaya hasil penjualan itu dapat disalurkan semula ke Lyon bagi memperkukuh kedudukan kewangan kelab tersebut.

Textor mengakui pendekatannya yang unik tidak diterima dalam persekitaran birokrasi bola sepak Perancis.

“Saya kapitalis yang datang dengan pelbagai idea kreatif yang ganjil, dan saya tak faham kenapa ia sukar difahami di sana. Ia menyakitkan kelab,” ujarnya.

Namun beliau tetap komited untuk membantu Lyon menerusi pelaburan semula dan perwakilan baharu dalam proses rayuan.

“Kami akan suntik lebih banyak modal, dan berhujah semula dengan cara yang lebih teratur dan hormat,” tambahnya.

Sementara itu, Lyon dalam kenyataan berasingan pada Jumaat memaklumkan bahawa mereka telah mencapai persetujuan dengan UEFA untuk menyertai Liga Europa musim 2024/25, dengan syarat rayuan terhadap penyingkiran ke Ligue 2 berjaya.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD