CHARLOTTE, 28 Jun – Chelsea menjaringkan tiga gol dalam masa tambahan untuk menewaskan Benfica 4-1 dalam aksi Piala Dunia Kelab yang tertunda akibat cuaca buruk.
Perlawanan pusingan 16 itu terhenti hampir dua jam sebelum disambung semula.
Pada perlawanan tersebut, Chelsea mendahului menerusi Reece James pada minit ke-64, namun Benfica menyamakan kedudukan menerusi penalti minit akhir permainan oleh Angel Di Maria yang memaksa perlawanan dilanjutkan ke masa tambahan.
Malang buat Benfica, dua minit selepas masa tambahan bermula, pemain muda, Gianluca Prestianni, dilayangkan kad kuning kedua selepas terjahan keras ke atas pemain lawan menyaksikan kelab Portugal itu terpaksa beraksi dengan 10 pemain.
Kesempatan tersebut diambil sepenuhnya oleh Chelsea untuk merobek gawang Benfica menerusi jaringan Christopher Nkunku, Pedro Neto dan Kiernan Dewsbury-Hall dalam tempoh sembilan minit untuk memastikan kemenangan bergaya kelab Inggeris itu.
Kemenangan itu menyaksikan Chelsea akan bertemu kelab Brazil, Palmeiras, dalam aksi suku akhir Sabtu depan.-REUTERS.