KUALA LUMPUR, 29 Jun - Majlis Sukan Negara (MSN) memuji prestasi skuad sepak takraw kebangsaan yang menunjukkan peningkatan dan berjaya meraih banyak kejayaan sejak tahun lalu.
Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin berkata, pasukan tersebut perlu mengekalkan prestasi cemerlang itu menjelang temasya besar akan datang seperti Sukan SEA di Thailand, Sukan Asia di Jepun dan Sukan SEA 2027 yang akan berlangsung di Malaysia selaku tuan rumah.
"Saya melihat sukan sepak takraw kini berada pada tahap yang lebih baik berbanding sebelum ini, hasil kepimpinan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan serta barisan kepimpinan yang lain.
Pencapaian ini menjadi penanda aras bukan sahaja kepada persatuan sepak takraw, malah kepada persatuan sukan lain untuk mencontohi bagaimana sukan ini mampu bangkit dan mencapai tahap yang membanggakan," katanya ketika ditemui media pada Mesyuarat Agung Tahunan 2025 Persatuan Sepak Takraw Malaysia di sini, hari ini.
Beliau turut mengulas secara ringkas mengenai peruntukan khas sebanyak RM6 juta bagi penubuhan Akademi Sepak Takraw Negara yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini.
Katanya, inisiatif itu merupakan langkah positif memandangkan akademi berkenaan dijangka menjadi pusat kecemerlangan sukan sepak takraw yang akan memberi tumpuan terhadap aspek latihan serta penganjuran kejohanan.