BUENOS AIRES, 28 Mac - Bintang bola sepak Argentina, Lionel Messi tidak menggangap usia sebagai faktor penentu dalam rancangan persaraannya.
Tambah ketua pasukan Argentina itu, dia juga tidak mempunyai perancangan jelas sekiranya masa untuk bersara tiba suatu hari nanti.
"Saya tahu saat-saatnya (bersara) akan tiba suatu masa nanti.
"Saya adalah seorang yang sentiasa tahu dan sedar dengan apa sahaja tindakan yang saya lakukan. Seperti bila saya beraksi dengan cemerlang dan buruk.
"Bila tiba saatnya untuk saya bersara, saya akan lakukan tanpa perlu memikirkan usia. Sekiranya saya berasa mampu bersaing. Saya akan teruskan", kata Messi ketika diwawancara oleh audio siar Big Time pada Rabu.
Pemenang lapan kali anugerah Ballon D'Or itu turut enggan mengulas ketika ditanya adakah dia mula berfikir tentang perkara yang akan dilakukannya selepas bersara.
"Saya belum berfikir tentangnya. Buat masa ini, saya cuba bergembira setiap hari dan setiap saat tanpa perlu memikirkan masa depan.
"Saya berharap agar dapat bermain untuk jangka masa yang lebih lama. Bila tiba masanya, saya akan mula mencari arah bagi memuaskan apa yang saya sukai dengan peranan yang baharu", tambah Messi.
Sementara itu, Messi terlepas perlawanan persahabatan mewakili Argentina menentang El Salvador dan Costa Rica di Amerika Syarikat (AS) hujung bulan ini susulan kecederaan hamstring yang dialaminya.-AFP