KUALA LUMPUR, 11 September - Rekod kebangsaan baharu dalam acara 400 meter (m) lelaki menjadi buruan Umar Osman menjelang Kejohanan Olahraga Dunia 2025 di Tokyo, Jepun bermula pada 13 hingga 21 September ini.
Atlet olahraga negara berusia 22 tahun itu berkata dia perlu memanfaatkan sebaik-baiknya peluang untuk beraksi di kejohanan berprestij itu.
"Impian saya sememangnya hendak memecahkan lagi rekod kebangsaan lagi.
"Peluang ini tidak datang banyak kali, jadi saya hendak manfaatkan peluang yang ada ini, berlari bawah 46 saat," katanya menerusi temu bual yang disiarkan di Facebook Olahraga Malaysia.
Umar berkata dia sebelum ini pernah dua kali mencuba untuk berbuat demikian iaitu ketika di Kejohanan Balapan dan Padang Asia serta Kejohanan Universiti Dunia.
Bagaimanapun, percubaan itu tidak membuahkan hasil.
"Kali ini saya akan cuba lagi," katanya sambil mengakui perlu kekal cergas dan mengelakkan diri daripada sebarang bentuk kecederaan.
Untuk rekod pada 2023, Umar terus mencipta sensasi di Sukan Universiti Dunia (UNIVERSIADE) di Chengdu, China apabila sekali lagi memecahkan rekod kebangsaan miliknya.
Kali ini, Umar yang meraih emas di Sukan SEA Kemboja mencatatkan 46.09 saat dalam saringan separuh akhir ketiga acara 400m lelaki di Stadium Pusat Sukan Shuangliu.
Sekali gus memadam rekod kebangsaan yang dilakukannya sebelum ini dengan catatan 46.33s.
