JOHOR BAHRU, 12 Ogos- Atlet 400 meter negara, Umar Osman berazam mahu mencatat masa dibawah 46 saat sekali gus membaharui rekod kebangsaan miliknya sendiri pada Sukan Asia Hangzhou 2022 di China, bulan depan.
Impian itu disuarakannya selepas menampilkan prestasi luar biasa dengan dua kali mencipta rekod kebangsaan ketika kejohanan Sukan Universiti Dunia, Universiade Chengdu, China awal bulan ini.
Catatan masa 46.09 saat yang dipegangnya ketika ini mendorong beliau memantapkan latihan menjelang temasya terulung di Asia itu.
Menurut Umar, sesi latihan yang bermula hari ini di Kluang dan Singapura esok bakal menjadi pengukur untuk beliau mengekalkan momentum.
"Saya dan jurulatih akan cuba buat yang terbaik dan kita tengok macam mana nanti. Saya kena sentiasa fokus dan tidak mahu hilang tumpuan serta akan cuba mengekalkan momentum tersebut," katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Catatan 46.09 saat dilakar pelari itu pada saingan separuh akhir ketiga acara 400 meter adalah pencapaian terbaik pelari tersebut selepas memenangi pingat emas 400 meter pada Sukan Sea Kemboja Mei lalu.
(Catatan masa 46.09 saat yang dipegangnya ketika ini mendorong beliau
memantapkan latihan menjelang temasya terulung di Asia itu)