fb fb fb fb fb

ACT 2023: Malaysia ke final selepas 'baham Korea Selatan

CHENNAI, 12 Ogos - Skuad hoki kebangsaan mencipta sejarah setelah melangkah ke final buat kali pertama pada kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2023.

Skuad bimbingan Arul Selvaraj mara selepas membelasah juara bertahan, Korea Selatan 6-2 pada aksi separuh akhir malam tadi.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Mayor Radhakrishnan, menyaksikan Korea Selatan bermula agresif untuk mendahului kedudukan apabila Ji Woo Cheon, yang mencipta jaringan seawal minit ketiga menerusi gol padang.

Skuad Speedy Tigers bagaimanapun berjaya bangkit mengawal permainan, selepas Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal menjaringkan gol padang seminit kemudian, sebelum Najmi Farizal Jazlan menggandakan kedudukan juga menerusi gol padang pada minit kesembilan.

Jaringan terbabit bagaimanapun tidak mematahkan semangat pasukan lawan untuk menyamakan kedudukan apabila Jang Jonghyun menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-14.

Anak buah Arul Selvaraj kemudian menambah derita Korea Selatan dengan gol ketiga dan keempat yang disempurnakan oleh penyerang prolifik Faizal Saari dan Najmi Farizal menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-19 dan ke-21 untuk meletakkan Malaysia di kedudukan selesa 4-2.

Skuad kebangsaan terus menambah jaringan menerusi Shello Silverius pada minit ke-47 dan ke-48, untuk melengkapkan kemenangan bergaya buat Malaysia.

Speedy Tigers memulakan kempen ACT 2023 dengan menumpaskan Pakistan 3-1 Khamis lepas, diikuti kemenangan 5-1 ke atas China, kemudian tewas kepada India 0-5, sebelum bangkit mencatat kemenangan ke atas Jepun 3-1 dan Korea Selatan 1-0.

Pencapaian terbaik Malaysia dalam kejohanan ACT adalah meraih tempat ketiga sebanyak lima kali, iaitu pada edisi 2011, 2012, 2013, 2016 dan 2018.-BERNAMA


(FOTO FB MalaysianHockeyConfederation)

Media Baharu