PUTRAJAYA, 31 Oktober - Skuad Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kumpulan A mengesahkan tiket ke pentas akhir regu premier pada Varsity Sepak Takraw League (VSL) 2025.
Mereka berjaya menundukkan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Kumpulan B dengan keputusan 2-1 dalam aksi separuh akhir di Dewan Kompleks Kejiranan di sini, hari ini.
Di awal permainan, UiTM A mempamerkan aksi cemerlang dan mendominasi set pertama dengan kemenangan 15-8, namun UPSI B bangkit pada set kedua.
Dengan aksi yang lebih agresif dan strategi yang lebih tajam, pasukan UPSI B berjaya menewaskan lawan 15-12 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.
Bagaimanapun, UiTM A berjaya mengatasi tekanan dan mengesahkan kemenangan 17-14 dalam tempoh 90 minit permainan yang mendebarkan.
Kemenangan ini melayakkan UiTM A untuk mara ke final dan memperkukuhkan status mereka selaku antara pasukan pilihan kejohanan.
Jurulatih pasukan UiTM A, Muhammad Afdhal Zahidin meluahkan rasa bangga atas kejayaan pasukannya dan menyifatkan kemenangan itu sebagai hasil semangat berpasukan yang tinggi serta komitmen pemain untuk terus berjuang walaupun berdepan tekanan.
"Saya sangat gembira pemain telah memberikan persembahan yang sangat baik dan menunjukkan semangat juang yang luar biasa bertemu UPSI yang sememangnya mempunyai pemain-pemain terbaik," katanya selepas perlawanan.
Menanti pasukan itu di peringkat akhir ialah skuad Universiti Putra Malaysia (UPM) yang dijadual berlangsung esok.