fb fb fb fb fb

Kes Vinicius mengamuk selesai, tiada tindakan disiplin dikenakan

Isu berkenaan telah diselesaikan sepenuhnya pada mesyuarat Real Madrid /Foto AFP

MADRID, 31 Oktober – Penyerang Real Madrid, Vinicius Junior, tidak akan berdepan sebarang hukuman susulan insiden pertukaran pemain yang mencetuskan kemarahannya semasa perlawanan El Clasico minggu lalu, kata jurulatih, Xabi Alonso.

Dalam kemenangan tegang 2-1 ke atas Barcelona itu, Vinicius dilihat menunjukkan rasa tidak puas hati selepas digantikan pada minit ke-72.

Namun, pemain berusia 25 tahun itu kemudiannya memohon maaf kepada penyokong Real, rakan sepasukan, kelab dan Presiden, Florentino Perez, tetapi tidak secara langsung kepada Alonso.

Alonso mengesahkan bahawa isu berkenaan telah diselesaikan sepenuhnya selepas mesyuarat pasukan, pada Rabu lalu.

“Kami telah mengadakan mesyuarat bersama semua kakitangan dan pemain. Vinicius memberikan ucapan yang sangat ikhlas. Bagi saya, perkara ini sudah pun ditutup sejak hari itu,” katanya dalam sidang media menjelang perlawanan menentang Valencia dalam saingan La Liga.

Jurulatih itu turut menegaskan tiada tindakan disiplin akan diambil terhadap pemain Brazil tersebut.

“Kami semua berada dalam satu pasukan dan bergerak ke arah matlamat yang sama. Semua pemain mahu berada di atas padang dan itu perkara yang baik. Fokus kami kini adalah pada permainan dan meneruskan momentum kemenangan,” jelas Alonso.

Insiden tersebut berlaku di tengah-tengah rundingan lanjutan kontrak baharu untuk Vinicius, walaupun kontraknya sekarang hanya akan tamat pada 2027.

Setakat musim ini, Vinicius telah menjaringkan lima gol dalam La Liga, namun bintang baharu Real, Kylian Mbappe, menjadi tumpuan utama selepas meledak 16 gol dalam 13 penampilan di semua pertandingan.

Real Madrid kini mendahului carta La Liga dengan 27 mata, lima mata di hadapan Barcelona, dan akan menentang Valencia di Santiago Bernabeu esok. - AFP

MUHAMMAD 'AZAMUDDIN HUSSAIN