fb fb fb fb fb

Skuad Bunga Raya 7s sasar tembusi final Sukan SEA 2025

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Nik Safuan Ismade Nik Man /Foto RTM

SERDANG, 31 Oktober - Skuad ragbi tujuh sebelah (7s) lelaki negara menetapkan sasaran untuk mara ke perlawanan akhir Sukan SEA Thailand 2025, yang dijadual berlangsung pada Disember depan.

Ketua jurulatih, Nik Safuan Ismade Nik Man berkata keyakinan terhadap skuad kebangsaan semakin meningkat selepas pasukan mempamerkan prestasi memberangsangkan pada Siri Kedua Kejohanan Ragbi 7s Asia di Colombo, Sri Lanka, baru-baru ini.

Menurutnya, pasukan kini berada pada tahap terbaik dan hanya perlu memperkemas beberapa aspek taktikal sebelum menghadapi temasya dwitahunan itu.

“Uniknya pasukan kita sejak dahulu adalah dari segi taktikal dan kepantasan permainan. Dua elemen ini menjadi senjata utama yang akan kami bawa ke Sukan SEA nanti,” katanya selepas sesi latihan skuad negara di Padang B, Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini.

Nik Safuan mengakui skuad negara berdepan kekangan masa untuk melakukan persiapan penuh menjelang temasya itu, namun menegaskan ia bukan alasan untuk tidak memberikan aksi terbaik di pentas antarabangsa.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap tahap kecergasan beberapa pemain utama yang mengalami kecederaan semasa beraksi di Sri Lanka.

Bagaimanapun, Nik Safuan berharap semua pemain dapat pulih sepenuhnya sebelum Sukan SEA membuka tirai.

“Ada beberapa pemain yang mengalami kecederaan agak serius selepas dua siri kejohanan. Saya masih menunggu laporan penuh daripada Institut Sukan Negara (ISN) dan berharap berita positif agar pemain tonggak dapat kembali beraksi,” jelasnya.

Sukan SEA Thailand dijadual berlangsung dari 9 hingga 20 Disember 2025 dan skuad Bunga Raya bertekad memperbaiki pencapaian terdahulu.

MUHAMMAD 'AZAMUDDIN HUSSAIN