BUKIT KIARA, 6 Jun - Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong bakal menjalani pembedahan ligamen krusiat anterior (ACL) selepas mengalami kecederaan serius ketika beraksi pada kejohanan badminton Malaysia Masters 2025, baru-baru ini.
Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kenneth Jonassen berkata, pembedahan itu merupakan langkah kritikal yang perlu diambil dan tempoh pemulihan dijangka memakan masa 9 hingga 12 bulan sebelum kembali bersaing dalam mana-mana kejohanan.
“Kami lakukan sekarang adalah untuk memberinya peluang terbaik untuk menjalani pembedahan dan pemulihan yang berjaya kerana proses ini amat penting untuk memastikan pemain berada dalam keadaan fizikal terbaik sebelum operasi, sekali gus meningkatkan peluang pemulihan yang berjaya. Ini termasuk membina semula kekuatan otot dan memastikan tubuh bersedia secara menyeluruh,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini ketika sesi latihan skuad badminton negara.
Dalam pada itu, beliau juga menekankan kepentingan mental dan semangat juang dalam fasa pemulihan ini.
Katanya, pasukan perubatan kini bersedia untuk menjalankan pembedahan dalam masa terdekat dan sokongan penuh akan diberikan sepanjang proses pemulihan.
Sebelum ini, Ng Tze Yong telah mengalami kecederaan lutut ketika beraksi dalam pusingan pertama Masters Malaysia 2025 pada 21 Mei lalu, menentang Angus Ng Ka Long dari Hong Kong.