BUENOS AIRES, 6 Jun - Real Madrid bersetuju menandatangani pemain muda sensasi River Plate, Franco Mastantuono dengan bayaran permulaan sekitar AS$45 juta (RM212 juta).
Mastantuono, 17, mula mencuri tumpuan selepas melakukan debut bersama River pada Januari 2024 dan kini dianggap sebagai antara bakat paling menyerlah dari Argentina.
Pemain kidal itu menjadi tonggak utama pasukan di bawah kendalian Marcelo Gallardo, termasuk menjaringkan gol sepakan percuma menakjubkan dalam kemenangan ke atas Boca Juniors pada aksi Superclasico April lalu.
Beberapa kelab besar Eropah termasuk Manchester United dan PSG turut dikaitkan dengan Mastantuono sebelum ini.
Menurut laporan media tempatan, Real Madrid dijangka membenarkan pemain tengah menyerang itu kekal bersama River Plate secara pinjaman sehingga Disember bagi melengkapkan kempen Copa Libertadores.
Pengurus Argentina, Lionel Scaloni turut memanggil Mastantuono menyertai skuad kebangsaan buat pertama kali bagi aksi kelayakan menentang Chile dan Colombia – berpotensi menjadikan beliau pemain termuda debut bersama skuad senior Argentina. - REUTERS