PARIS, 6 Jun - Coco Gauff berkata dia akan mengambil iktibar daripada kegagalan menjuarai Terbuka Perancis tiga tahun lalu apabila berdepan Aryna Sabalenka pada final perseorangan wanita di Roland Garros, malam esok.
Pemain Amerika Syarikat (AS) berusia 21 tahun itu melangkah ke perlawanan akhir Grand Slam perseorangan ketiganya selepas menewaskan wira luar jangkaan Perancis, Lois Boisson 6-1, 6-2 sekali gus menamatkan kemaraan luar biasa lawannya itu di Paris.
Dia tewas pada final Terbuka Perancis 2022 di tangan Iga Swiatek sebelum menewaskan Sabalenka setahun kemudian untuk meraih gelaran Grand Slam sulungnya pada Terbuka AS.
Gauff berkata kini dia seorang pemain yang jauh lebih yakin berbanding remaja yang tewas pada penampilan akhir Grand Slam sulungnya itu. - AFP