fb fb fb fb fb

Tunku Panglima Johor Raih Kemenangan Sulung Siri Perlumbaan Asian Le Mans

Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim /Foto FB TheRoyalJohor

ABU DHABI, 12 Februari - Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim melakar sejarah bersama pasukan Triple Eight selepas meraih kemenangan sulung kategori GT dalam perlumbaan pusingan keempat siri Asian Le Mans di Litar Yas Marina, di sini pada Ahad.

Menerusi kenyataan pasukan Triple Eight, Tunku Abdul Rahman bergandingan bersama Luca Stolz dan Jordan Love mempamerkan pemanduan cekap sepanjang empat jam perlumbaan sekali gus merangkul kemenangan manis buat pasukan itu yang pertama kali menyertai siri berkenaan.

Tunku Abdul Rahman memandu jentera Mercedes AMG GT3 bermula di petak kelima dalam masa sama membuktikan penampilan pasukannya di siri perlumbaan itu bukan sekadar pelengkap apabila menamatkan saingan dengan jayanya.

Tunku Abdul Rahman bersama pasukannya dalam masa sama berjaya mengelak daripada sebarang perkara tidak diingini berlaku ketika perlumbaan tersebut.

Pasukan Triple Eight dijadual meneruskan perlumbaan kelima mereka di Abu Dhabi itu hari ini.

Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah kepada anakanda Seri Paduka Baginda, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim dan pasukan atas kejayaan berkenaan.

"Tahniah Bah ucapkan kepada Iman (Tunku Abdul Rahman) dan pasukan. Kejayaan ini bukan sahaja mengharumkam nama Johor, malah Malaysia di pentas antarabangsa.

"Ingat pesanan Bah, setiap kali sebelum memulakan perlumbaan, dirikan solat hajat dan berdoa memohon agar sentiasa dilindungi dan selamat sepanjang perlumbaan," titah Sultan Ibrahim menerusi Facebook rasmi Seri Paduka Baginda.

Tunku Abdul Rahman mencatat sejarah apabila meraih kemenangan sulung bagi kategori GT dalam perlumbaan pusingan keempat siri Asian Le Mans di litar Yas Marina, Abu Dhabi pada Ahad.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD