BERLIN, 21 Februari - Gergasi Bundesliga, Bayern Munich mengambil keputusan bagi mengakhiri kerjasama dengan ketua jurulatih kelab berkenaan, Thomas Tuchel pada penghujung musim ini meskipun kontrak pengendali itu berbaki setahun lagi.
Bayern yang tewas dalam tiga perlawanan berturut-turut termasuk ketika tewas 3-0 kepada pendahulu liga, Bayer Leverkusen dan kini ketinggalan lapan mata di tangga kedua di belakang pasukan berkenaan.
Nasib malang terus menimpa Bayern Munich apabila mereka tumpas mengejut kepada wakil Itali, Lazio 1-0 pada perlawanan 16 terakhir Liga Juara-Juara minggu lalu.
Tuchel yang dilantik menggantikan Julian Nagelsmann pada Mac tahun lalu berjaya membimbing Bayern Munich merangkul gelaran juara Bundesliga musim lalu.
Musim ini, Tuchel dilihat bergelut bagi memastikan Bayern Munich untuk terus kekal mendominasi bola sepak Jerman seperti dekad-dekad lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Bayern Munich, Jan-Christian Dreesen berkata kelab berkenaan mempunyai hala tuju baharu musim depan dengan pelantikan jurulatih baharu.
"Kami telah berbincang dan mencapai kata sepakat bagi mengakhiri kerjasama dengan persetujuan bersama", kata Dreesen.
"Matlamat kami adalah untuk meneruskan hala tuju bola sepak baharu dengan ketua jurulatih baharu untuk musim 2024/25," tambah Dreesen.- REUTERS