NAPLES, 21 Februari - Kelab bergelut, Napoli merancang untuk melakukan rombakan menjelang Liga Juara-Juara menentang Barcelona pada Rabu kata jurulatih sementara, Francesco Calzona.
"Kita bermula hari ini. Kita akan melakukan rombakan segala-galanya. Kita akan memulakan perjalanan baharu.
"Pasukan ini perlukan tindakan, bukan kata-kata", kata Calzona kepada pemberita pada Selasa.
Calzona bakal mengendalikan aksi pertamanya selaku pengurus baharu pada perlawanan 16 terbaik Liga Juara-juara menentang Barcelona di laman sendiri.
"Kami kesuntukan masa. Saya telah memberitahu para pemain, bahawa mereka perlu memperbaiki kedudukan pasukan.
"Jujurnya, Barcelona merupakan pasukan yang kuat, dan salah satu pasukan terbaik di Eropah meskipun mereka kini mempamerkan prestasi kurang memuaskan.
"Napoli bermain bukan untuk seri. Sekiranya Barcelona berhasrat untuk seri dan berjaya, kami hormati mereka. Tapi Napoli bermain untuk menang", kata Calzona.
Sejak bekas jurulatih, Luciano Spalletti meninggalkan Napoli selepas kejayaan merangkul kejuaraan liga Serie A, pasukan tersebut kini bergelut dan menduduki tangga kesembilan ketinggalan 27 mata di belakang pendahulu, Inter Milan.
"Presiden kelab, Aurelio De Laurentiis tidak gembira dengan situasi ini.
"Dia telah bertanyakan saya tentang sasaran kelab musim ini yang mahu kelab meneruskan kemaraan dalam Liga Juara-Juara musim ini selain menduduki tangga keempat dalam liga", tambah Calzona.
Pengurus berusia 55 tahun itu dilantik menggantikan Walter Mazzari yang dipecat selepas gagal membawa sebarang kemenangan kepada Napoli.-REUTERS