fb fb fb fb fb

Tuchel ingatkan Bellingham perlu bersaing untuk tempat di Piala Dunia

Pengurus England, Thomas Tuchel menghadiri sidang media di pusat latihan Tottenham Hotspur di Enfield, utara London menjelang perlawanan kelayakan akhir Piala Dunia menentang Serbia dan Albania/ AFP

LONDON, 12 November – Pengurus England, Thomas Tuchel memberi amaran kepada Jude Bellingham bahawa pemain tengah Real Madrid itu perlu berjuang untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama England menjelang Piala Dunia 2026.

Bellingham kembali disenarai dalam skuad untuk perlawanan kelayakan akhir Piala Dunia menentang Serbia dan Albania minggu ini, selepas diketepikan pada perlawanan antarabangsa bulan Oktober.

Pemain berusia 22 tahun itu baharu pulih daripada pembedahan bahu, yang menyebabkan pemain Aston Villa, Morgan Rogers diberi peluang mempamerkan prestasi cemerlang di posisi nombor 10 untuk England.

“Daripada menukar posisi pemain terbaik untuk memuatkan mereka di padang, lebih baik biarkan semua berada di posisi terbaik dan wujudkan persaingan sihat. Pada masa ini, persaingan adalah antara kedua-duanya. Mereka berkawan, jadi ia persaingan sihat, bukan permusuhan.” kata Tuchel kepada media pada Rabu.

Beliau menambah bahawa kedua-dua pemain boleh bermain bersama tetapi dalam struktur taktikal yang berbeza dan masa ini bukan untuk menukar struktur pasukan.

Bellingham kembali ke skuad selepas Tuchel sebelum ini terpaksa memohon maaf kerana mendakwa ibunya menganggap beberapa aksi pemain itu di padang sebagai 'menjijikkan'. -AFP

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN