KUALA LUMPUR, 12 November – Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao menamatkan cabaran pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Kumamoto Masters 2025 di Jepun selepas tewas kepada pemain India, Prannoy Haseena Sunil Kumar.
Dalam aksi yang berlangsung di Kumamoto Prefectural Gymnasium selama 68 minit, Jun Hao, yang kini menghuni ranking ke-22 dunia, bermula cemerlang apabila memenangi set pertama 21-16.
Namun, hasrat Jun Hao untuk mara ke pusingan kedua tidak kesampaian apabila Prannoy bangkit pada dua set berikutnya untuk mencatat kemenangan 13-21, 21-23, sekaligus menamatkan perjuangan pemain negara itu.
Sementara itu, seorang lagi perseorangan lelaki negara, Kok Jing Hong, berjaya mara ke pusingan kedua selepas menewaskan pemain India, Kiran George, dalam straight set 22-20, 21-10.
Jing Hong akan berdepan pilihan keenam tuan rumah, Kenta Nishimoto, pada pusingan seterusnya.
Wong Ling Ching/Foto AFP
Dalam acara perseorangan wanita, Wong Ling Ching turut melangkah ke pusingan kedua selepas mencatat kemenangan mudah 21-16, 21-11 ke atas pemain Jepun, Nanaho Kondo.
Ling Ching dijadualkan berdepan pemain Kanada, Michelle Li, pada aksi seterusnya esok.