BERLIN, 13 November - Kelab bola sepak divisyen satu Jerman FSV Mainz 05, kalah dalam rayuan mahkamah berhubung penamatan kontrak pemain Anwar El Ghazi akibat kenyataannya yang pro-Palestin, umum kelab itu pada Rabu, lapor Anadolu Ajansi.
Mahkamah Buruh Negeri Rhineland-Palatinate pada Rabu mengumumkan keputusannya untuk menolak rayuan dalam kes El Ghazi. Dengan itu, keputusan asal dari musim panas 2024 kekal berkuat kuasa,” menurut kelab itu di laman sesawang rasminya.
“Ketika itu, Mahkamah Buruh Mainz memutuskan yang pemecatan serta-merta El Ghazi oleh kelab adalah tidak sah. Susulan keputusan itu, Mainz 05 membayar pemain Belanda itu gaji seperti yang dipersetujui dalam kontrak bagi tempoh berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Mahkamah berpendapat kenyataan pemain itu adalah di dalam ruang kebebasan bersuara dan oleh itu, “pemecatan tanpa notis tidak berasas.”
Sementara itu, Pengerusi FSV Mainz 05, Stefan Hoffman berkata kelabnya menerima keputusan mahkamah itu.
Mainz sebelum ini menggantung dan memberi amaran kepada El Ghazi pada Oktober 2023 berhubung penggunaan frasa “Dari sungai ke segara’’ di akaun Instagramnya.
“Dari sungai ke segara, Palestin pasti merdeka’’ adalah slogan Palestin yang merujuk kepada wilayah antara Sungai Jordan dan Laut Mediterranean, termasuk Israel, Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.
El Ghazi menjadi pemain bebas selepas dilepaskan oleh Mainz pada 3 November atas alasan “kenyataan dan hantarannya di media sosial”.
Beliau memberi reaksi terhadap penamatan kontrak itu di platform X (Twitter) dengan menulis,
“Nyatakan kebenaran, walaupun bermakna anda sendirian.”
“Kehilangan sumber rezeki saya tidak bermakna apa-apa berbanding neraka yang sedang menimpa orang tidak bersalah dan lemah di Gaza,” kata bekas pemain antarabangsa Belanda itu.- BERNAMA-Anadolu