fb fb fb fb fb

Bayern kejutkan Arsenal, Man United lakar malam gemilang di Old Trafford

Foto AFP

MUNICH, 13 November - Bayern Munich bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menewaskan juara bertahan, Arsenal, 3-2 dalam aksi dramatik Liga Juara-Juara Wanita pada Rabu.

Arsenal bermula garang apabila Emily Fox meledak gol pembukaan menerusi tandukan sebelum Mariona Caldentey menggandakan jaringan dengan rembatan dari luar kotak penalti pada minit ke-23, meletakkan pasukan London itu di depan 2-0.

Namun, Bayern tidak mudah menyerah dan mempamerkan kebangkitan luar biasa di separuh masa kedua.

Alara merapatkan jurang pada minit ke-67, diikuti rembatan cantik pemain gantian Pernille Harder yang menyamakan kedudukan, sebelum Glodis Viggosdottir muncul wira apabila menolak masuk hantaran rendah Klara Buehl empat minit sebelum tamat permainan.

“Ini pasukan dengan mentaliti kemenangan. Kami tidak pernah berhenti percaya walaupun ketinggalan 2-0. Kami kekal bersatu hingga wisel penamat,” kataJurulatih Bayern, Jose Barcala

Pengendali Arsenal, Renee Slegers, pula mengakui kelemahan pasukannya.

“Ini tidak cukup baik. Kami tidak boleh bolos tiga gol dalam satu separuh masa di pentas Liga Juara-Juara,” katanya.

Kekalahan kedua daripada tiga perlawanan itu menyebabkan Arsenal kini berada di zon play-off untuk merebut tempat ke suku akhir dalam format baharu liga musim ini.

Manakala Manchester United menundukkan Paris Saint-Germain (PSG) 2-1 di Old Trafford.

Dalam satu lagi perlawanan, Barcelona mengekalkan rekod sempurna dengan kemenangan 3-0 ke atas pendatang baharu Belgium, OH Leuven.

Aksi lain, Juventus menewaskan Atletico Madrid 2-1 manakala Benfica seri 1-1 menentang Twente. - AFP / Reuters

AZRUL FAIZAL JUSOH