fb fb fb fb fb

Tuan rumah Sukan Komanwel :Kerajaan pertimbang semua aspek

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 19 Mac - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menjelaskan, sebarang keputusan berhubung penganjuran temasya Sukan Komanwel 2026 akan dibuat selepas pihak kerajaan membuat penilaian teliti dari segenap aspek.

Menterinya Hannah Yeoh berkata isu berkenaan akan dibincangkan secara terperinci dalam mesyuarat Kabinet Jumaat ini.

"Paling penting adalah apabila keputusan ini dibuat, kami akan beri jaminan bahawa kita sudah membuat pertimbangan dari semua aspek pada perbincangan Kabinet Jumaat nanti", katanya pada majlis pelancaran laluan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 di Majlis Sukan Negara (MSN) pada Isnin.

Hannah bagaimanapun menjangka pengumuman keputusan itu mungkin mengambil masa sekiranya maklumat tambahan diperlukan dalam pertimbangan tawaran berkenaan.

Dalam pada itu,Majlis Olimpik Malaysia (MOM) percaya penganjuran Sukan Komanwel 2026 dapat dilaksanakan dengan bajet berpatutan menerusi model pengecilan saiz untuk kelestarian jangka panjang temasya itu.

Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Najib berkata Sukan Komanwel boleh dianjurkan dalam skala kecil dengan mengurangkan bilangan sukan sehingga serendah 10 acara.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD