fb fb fb fb fb

Dua pasukan PDRM FC wakil KSAH dibenar bersaing dalam saingan Liga KPM 2024/2025

FOTO HIJAU KUNING FC

ALOR SETAR, 17 Mac- Dua pasukan PDRM FC yang akan diwakili Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH), Alor Setar dibenarkan untuk menyertai Liga Sukan Bolasepak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) 2024 bagi kategori bawah 14 dan 17 tahun.

Ia berdasarkan surat daripada Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia bertarikh 7 Mac 2024 kepada Ketua Pegawai Eksekutif, Kelab Bolasepak PDRM, Mohamad Hafiz Zainal Abidin.

Surat tersebut dikongsikan di laman Facebook Hijau Kuning FC.

Berdasarkan surat tersebut, semua kos pengelolaan/penyertaan (home/away) pasukan yang disenaraikan ditanggung sepenuhnya oleh PDRM FC.

“Sehubungan dengan itu, dijemput pengurus pasukan PDRM FC untuk menghadiri mesyuarat yang akan diadakan di Auditorium Sekolah Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 26 Mac 2024,"menurut surat itu.

Sementara itu, Hijau Kuning FC yang dilantik untuk mengendalikan pasukan bawah 14 dan 17 tahun PDRM FC gembira diatas perkembangan terbaharu itu.

Presiden HKFC, Muhammad Talhah Zainol berkata, ia menguatkan lagi semangat dan momentum pasukan untuk menghadapi kejohanan tersebut.

“Alhamdulillah. Terima kasih kepada semua, atas semangat rakan-rakan collegian KSAH dan sahabat-sahabat yang telah berusaha bersama pengurusan HKFC, Kolej Sultan Abdul Hamid telah diterima masuk dalam pertandingan bolasepak Liga KPM 2024 bawah 17 dan 14 tahun. Terima kasih PDRM Football Club, JPN Kedah dan KPM,"katanya ketika dihubungi RTM.

Beliau berkata, semua pemain yang terpilih mewakili pasukan bawah 14 dan 17 tahun PDRM Fc telah mendaftar masuk di KSAH.

“Pemain yang terpilih bukan sahaja berbakat dalam bolasepak, malah memiliki akademik yang cemerlang. Moga kita dapat melahirkan pemain bijak dan cemerlang dalam akademik dan sukan,"katanya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE