KUALA LUMPUR, 21 Oktober - Pengorbanan atlet muda Thurgesshwaran Ganesan 'meninggalkan' sambutan Deepavali demi Kejohanan Bakat Memanah R10AC 2025 berbalas selepas dinobatkan sebagai juara kategori Bawah 15, semalam.
Thurgesshwaran memilih meraikan Deepavali kali ini di lapangan memanah selepas acara yang disertainya berlangsung pada pagi perayaan tersebut.
"Sebelum datang ke kejohanan ini, rasa yakin untuk menang itu ada, Jadi sebab itu saya teruskan juga," katanya.
Kecederaan pada jari tangannya juga tidak menghalang atlet berusia 15 tahun untuk menghabiskan cabaran.
"Sakit itu biasa. Tapi apabila sudah memegang busur, saya lupa semua. Saya cuma nak fokus dan lepaskan panah dengan betul," katanya.
Bapanya, Ganesan K.Muniandy, 52, yang setia menemani pemanah itu sejak awal pagi, mengakui sudah terbiasa dengan disiplin anak sulungnya.
"Dari umur lapan tahun dia sudah minat memanah. Ketika dia cakap mahu masuk kejohanan ini, saya terus sokong.
"Perayaan boleh disambut bila-bila, tapi semangat anak tidak datang selalu," katanya ketika ditemui selepas kejohanan Bakat Memanah R10AC 2025, di sini.
Kini, atlet yang bukan lagi asing di pentas remaja itu meletakkan sasaran baharu iaitu melayakkan diri ke SUKMA 2026 selain terus fokus mengejar impian besar untuk menyarung jersi negara.
Pada Julai lalu, Thurgesshwaran muncul juara Karnival Bakat Olimpik Kebangsaan siri 1 di Kuala Terengganu sekali gus membuka ruang ke peringkat lebih tinggi.