fb fb fb fb fb

Kejohanan Bola Tampar Bakat Baru inisiatif pembangunan akar umbi

Kejohanan Bola Tampar Bakat Baru Bawah 19 Tahun Tertutup Negeri Perlis 2025

BESERI, 21 Oktober - Kejohanan Bola Tampar Bakat Baru Bawah 19 Tahun Tertutup Negeri Perlis 2025 merupakan sebahagian daripada inisiatif pembangunan akar umbi sukan itu.

Pengerusi Kelab Hardcore Volleyball Perlis, Dr Ahmad Fadly Abd Rahman berkata, kejohanan itu sebagai medium pemindahan ilmu melalui sukan dengan membantu atlet muda membina kemahiran insaniah dan mencungkil bakat baharu untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi seperti Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.

"Kejohanan ini membuktikan bahawa dengan semangat muafakat dan sokongan pelbagai pihak, pembangunan sukan negeri dapat diperkukuh dan digerakkan ke arah lebih cemerlang," katanya.

Beliau berkata demikian pada Perasmian Penutup Kejohanan Bola Tampar Bakat Baharu Bawah 19 Tahun Tertutup Negeri Perlis 2025 di sini.

Kira-kira 16 pasukan lelaki dan 12 pasukan wanita telah mengambil bahagian dalam Kejohanan Bola Tampar Bakat Baru Bawah 19 Tahun Tertutup Negeri Perlis 2025.

Daripada jumlah itu 12 pasukan lelaki dan lapan pasukan wanita terdiri daripada sekolah-sekolah sekitar Parlimen Kangar.

Ia sekali gus menunjukkan sambutan menggalakkan daripada remaja tempatan terhadap sukan bola tampar.

Bagi kategori lelaki, pasukan IKT VC muncul juara, manakala Naib Johan dimiliki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Ahmad dan tempat ketiga KAVOC dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Kategori Wanita pula diungguli pasukan
Netzilla, manakala Naib Johan dimiliki SA Eagle dan tempat ketiga Killer Instinct dan Volley Venom.

Penyampaian hadiah bagi kategori lelaki dan wanita masing-masing disampaikan Presiden Majlis Belia Negeri Perlis, Mohd Jeffry Hassan dan Penasihat Malaysian Volunteers Organisation (MYVO), Norhayati Hashim. 

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI