fb fb fb fb fb

Hannah ucap tahniah, jersi pelangi milik Mohamad Yusof

Foto FB Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR, 21 Oktober - Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mengucapkan tahniah kepada atlet para negara Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin yang meraih pingat emas pertama dunia buat Malaysia di Kejohanan Berbasikal Trek Para Dunia 2025 di Rio de Janeiro, Brazil.

Menurut beliau, atlet itu bukan sahaja menjadi juara dunia dalam acara pecut 200 meter (m) kategori MC1, malah turut menjadi atlet para pertama negara membawa pulang jersi pelangi.

"Jersi Pelangi merupakan simbol kejuaraan dunia yang paling berprestij dalam sukan berbasikal.

"Malaysia bangga dengan anda dan seluruh pasukan Berbasikal Trek Para Malaysia," ujarnya menerusi satu hantaran di Facebook, semalam.

Kejohanan yang berlangsung selama empat hari bermula 16 Oktober itu menyaksikan Mohamad Yusof menewaskan pelumba Sepanyol, Ricardo Ten Argiles dan atlet neutral Ivan Ermakov sekali gus meraih emas buat negara.

Ini merupakan pingat kedua diraih anak jati Kuala Kangsar, Perak itu selepas meraih perak acara 1 kilometer kategori MC1.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN