fb fb fb fb fb

Kejohanan Bakat Memanah R10AC berjaya cungkil bakat baharu

Barisan pemenang bergambar kenangan /Foto RTM

KUALA LUMPUR, 21 Oktober – Kejohanan Bakat Memanah R10AC 2025 menutup tirai dengan keputusan memberangsangkan apabila tahap persaingan dan markah peserta meningkat ketara berbanding penganjuran tahun lalu.

Thurgesshwaran Ganesan, Muhammad Rayyan Ramadhan Fazil, Muhammad Ammar Thaqif dan Isa Ihsan Muhammad Nazmi muncul juara dalam kategori masing-masing.

Thurgesshwaran dari kategori Wira Junior menjuarai acara Recurve Lelaki Bawah 15 Tahun dengan pungutan 651 mata, manakala wakil Archers Studio Kuala Lumpur, Rayyan mengungguli kategori Bawah 12 Tahun dengan catatan cemerlang 703 mata, antara skor tertinggi kejohanan.

Bagi kategori lebih muda, Muhammad Ammar Thaqif dari Sekolah Kebangsaan (SK) Methodist Pelabuhan Klang menguasai Recurve Bawah 10 Tahun dengan 696 mata, sementara Isa Ihsan Muhammad Nazmi turut membawa pulang kejuaraan kategori Bawah 8 Tahun selepas mengumpul 686 mata.

Naib Presiden II Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM), Ahmad Badli Shah Abdul Aziz menyifatkan kejohanan kali ini sebagai bukti kejayaan program pembangunan akar umbi yang disokong Majlis Sukan Negara (MSN).

“Alhamdulillah, kita lihat banyak peningkatan dari segi mata berbanding tahun lalu. Program di peringkat kebangsaan nyata membantu prestasi atlet, terutamanya dari Wilayah Persekutuan,” katanya pada kejohanan tersebut.

Tambahnya, kira-kira 10 pemanah berusia antara 12 hingga 15 tahun dikenal pasti berpotensi untuk diserap ke dalam Program Pelapis Kebangsaan selepas mencapai markah minimum yang ditetapkan.

Jurulatih Persatuan Memanah Selangor (SELAR), Argus Md Yusof turut memuji peningkatan ketara dalam kualiti panahan peserta, dengan ramai kini mampu mencatat markah melebihi 350 berbanding sekitar 320 pada edisi lalu.

MUHAMMAD 'AZAMUDDIN HUSSAIN