KUALA LUMPUR, 20 Oktober – Skuad terjun negara berdepan cabaran besar menjelang Sukan SEA 2025 di Thailand apabila hanya empat acara akan dipertandingkan, berbeza daripada edisi sebelum ini yang menampilkan lebih banyak disiplin bertaraf Olimpik.
Jurulatih kebangsaan, Ooi Tze Liang menyifatkan keputusan tuan rumah menggugurkan beberapa acara utama sebagai tidak seimbang, khususnya apabila terdapat ketidakseimbangan antara kategori lelaki dan wanita.
“Ini kali pertama acara bertaraf Olimpik digugurkan. Ada acara wanita sahaja, ada acara lelaki sahaja, jadi ia agak tidak adil. Jelas ada kelebihan untuk tuan rumah,” katanya ketika ditemui di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil.
Empat acara yang akan dipertandingkan ialah 1 meter papan anjal lelaki, 3 meter papan anjal lelaki, 3 meter papan anjal seirama lelaki dan 10 meter platform seirama wanita.
Menurut Tze Liang, pengguguran acara mungkin strategi tuan rumah untuk mengehadkan dominasi Malaysia, yang sebelum ini sering meraih kutipan emas tertinggi dalam sukan terjun di temasya dwitahunan itu.
“Kalau lebih banyak acara dipertandingkan, memang kita berpeluang sapu lebih banyak emas. Jadi ini mungkin cara mereka kawal kelebihan kita,” tambahnya.
Bagaimanapun, beliau kekal optimis dan yakin skuad negara akan menyesuaikan diri dengan perubahan format serta tetap memberi saingan terbaik di pentas Sukan SEA.
Persiapan intensif dari segi fizikal dan mental sedang giat dijalankan bagi memastikan atlet berada pada tahap terbaik menjelang temasya yang dijadual berlangsung hujung tahun depan.
Tze Liang, bekas penerjun negara dengan enam penampilan di Sukan SEA, kini menggalas tanggungjawab baharu sebagai jurulatih utama pasukan kebangsaan.
