MADRID, 12 Jun- Bintang England, Trent Alexander-Arnold secara rasmi diperkenalkan sebagai pemain baharu Real Madrid hari ini dan menyatakan kesediaannya untuk memikul tanggungjawab besar bersama kelab gergasi Sepanyol itu.
Pemain pertahanan kanan berusia 26 tahun itu berpindah dari Liverpool lebih awal dengan bayaran perpindahan yang dipercepatkan, menjelang penampilan Madrid dalam Piala Dunia Kelab.
"Menandatangani kontrak dengan Real Madrid adalah impian yang menjadi kenyataan. Saya amat bangga dan tidak sabar untuk menunjukkan aksi saya kepada penyokong Madrid," katanya ringkas dalam bahasa Sepanyol pada sidang media.
Alexander-Arnold menandatangani kontrak sehingga 2031 dan bakal memakai jersi nombor 12 dengan nama 'Trent' di belakang.
Beliau dijangka membuat penampilan sulung menentang Al-Hilal pada 18 Jun di Miami.
Bekas bintang akademi Liverpool itu menyertai projek baharu di bawah kendalian bekas pemain Reds, Xabi Alonso, selepas membantu Liverpool menjuarai Liga Perdana Inggeris musim lalu.
Madrid turut mengesahkan pembelian Dean Huijsen dari Bournemouth dalam usaha membina semula skuad selepas musim tanpa trofi di bawah Carlo Ancelotti.- AFP