fb fb fb fb fb

Kejohanan Tenis Piala BJK, persediaan skuad negara hadapi Sukan SEA Bangkok 2025

Ketua jurulatih tenis negara, Mulyadi Jamal ditemui pemberita dalam sidang media Kejohanan Tenis Piala Billie Jean King (BJK) di Pusat Tenis Nasional, di ibu negara.

KUALA LUMPUR, 12 Jun- Kejohanan Tenis Piala Billie Jean King (BJK Cup) yang akan berlangsung 15 Jun ini, menjadi medan utama pemilihan skuad tenis negara ke Sukan SEA Bangkok 2025.

Ketua jurulatih tenis negara, Mulyadi Jamal berkata persediaan rapi telah dibuat sejak Januari lalu bagi menyenarai pendek atlet terpilih dan berkelayakan.

Tambah beliau, skuad tenis tahun ini mampu mencatatkan prestasi terbaik menerusi rekod yang dicapai tahun lalu, tempat ketiga dalam kejohanan.

"Kita ada senarai yang panjang untuk dipertimbangkan. Namun, berdasarkan peraturan, satu pasukan hanya dibenarkan menurunkan maksimum lima pemain. Buat masa ini, terdapat enam pemain yang menjalani latihan bersama pasukan. Pengumuman senarai akhir lima pemain yang akan beraksi akan dibuat pada Ahad petang, selepas mesyuarat pengurus dan kapten berlangsung.

Pemain-pemain yang tersenarai ini merupakan calon untuk disenarai pendek bagi Sukan SEA Bangkok nanti. Jadi, kejohanan ini merupakan sebahagian daripada persiapan pasukan. Selain itu, masih ada beberapa lagi kejohanan yang akan mereka sertai sebelum Disember," kata Mulyadi kepada pemberita, hari ini.

Beliau ditemui pada sidang media Kejohanan Tenis Piala Billie Jean King (BJK) di Pusat Tenis Nasional, di ibu negara.

Menurut Mulyadi, skuad tenis negara mempertaruhkan dua pemain utama, Sharifah Elsa Wan Abdul Rahman dan Saw Jo-Leen selain Iman Syuhada, Lim Zan Ning, Hannah Yip dan Lim Zi Chuan, setakat ini.

Pemilihan dibuat berdasarkan prestasi semasa sesi latihan sekali gus memastikan setiap pemain mencapai tahap kecergasan yang disasarkan.

Dalam pada itu, atlet tenis negara, Sharifah Elsa Wan Abdul Rahman juga yakin skuad tenis negara layak untuk ditempatkan ke kumpulan satu berdasarkan prestasi memberangsangkan tahun lalu.

"Saya rasa kita telah lakukan yang terbaik tahun lalu. Kita berjaya kalahkan beberapa negara pesaing dan sasaran tahun ini adalah untuk melayakkan diri ke kumpulan seterusnya dan harap rakan sepasukan dapat lakukannya untuk kali ini. Kami akan bekerjasama dan harap ia berjalan dengan lancar ," kata Sharifah Elsa kepada pemberita, hari ini.

Kejohanan Tenis Piala BJK tahun ini disertai 10 buah negara antaranya Indonesia, Singapura, Iran, Kyrgystan dan Filipina.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM