fb fb fb fb fb

Jurulatih Poland umum letak jawatan, selepas isu dengan Lewandowski

Pengurus pasukan kebangsaan Poland, Michal Probierz/Reuters

WARSAW, 12 Jun- Pengurus pasukan kebangsaan Poland, Michal Probierz meletakkan jawatan pada Khamis, empat hari selepas penyerang bintang, Robert Lewandowski menyatakan beliau tidak lagi akan beraksi di bawah kendalian jurulatih tersebut.

Lewandowski, 36 tahun, yang kini beraksi bersama Barcelona, meluahkan rasa kecewa dan mendakwa kepercayaannya telah dikhianati selepas disingkirkan sebagai kapten pasukan menerusi satu panggilan singkat daripada Probierz.

Menurut Lewandowski, panggilan tersebut diterima ketika beliau sedang menidurkan anak-anaknya dan tidak lama kemudian kenyataan rasmi mengenai penukaran kapten itu dimuat naik di laman web Persatuan Bola Sepak Poland.

Probierz menggantikan Lewandowski dengan pemain tengah, Piotr Zielinski, sebagai kapten baharu skuad kebangsaan.

"Dalam situasi semasa, saya membuat keputusan bahawa tindakan terbaik demi kepentingan pasukan kebangsaan adalah dengan melepaskan jawatan ini.

Memegang jawatan ini adalah impian profesional saya yang menjadi kenyataan dan merupakan satu penghormatan terbesar dalam hidup saya," kata Probierz dalam satu kenyataan.

Lewandowski merupakan penjaring gol terbanyak sepanjang zaman buat Poland dan dianggap ikon bola sepak negara itu.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM