KUALA LUMPUR, 12 Jun- Olahraga Malaysia (MA) meletakkan harapan tinggi menjelang Sukan SEA 2025 di Thailand, dengan sasaran melepasi pencapaian lima pingat emas yang diraih pada edisi lalu di Kemboja.
Presidennya, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata sasaran rasmi akan diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dalam masa terdekat.
"Kita telah bincang dalam mesyuarat bersama pihak kementerian. Menteri akan umum sasaran keseluruhan bagi semua sukan termasuk olahraga.
Tetapi bagi pihak kami, sudah tentu kami mengintai pencapaian lebih baik daripada tahun 2023. Jika kurang, itu bukan sesuatu yang boleh diterima," kata Datuk Seri Shahidan dalam sidang media di Wisma OCM, hari ini.
Edisi lalu, skuad olahraga negara membawa pulang lima emas, tiga perak dan 11 gangsa.
Emas tersebut disumbangkan oleh Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera), Andre Anura Anuar (lompat kijang), Umar Osman (400m), Grace Wong (baling tukul besi) dan Shereen Samson Vallabouy (400m).
Dalam perkembangan lain, Shahidan turut mendedahkan barisan atlet yang layak setakat in, ke temasya bawah Kategori A.
Antaranya pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi, selain Irfan, Umar, Andre, Jonah Chang Rigan (lontar peluru) dan Wan Muhammad Fazri Wan Zahari (800m).
Bagi atlet wanita pula, nama seperti Shereen, Grace, Queenie Ting Kung Ni (lempar cakera) dan Nani Shahirah Maryata (lontar peluru) tersenarai.
Kuartet 4x100 meter lelaki dan wanita pula masih dinilai sebagai berpotensi untuk Kategori A.
“Atlet dalam Kategori A bermaksud berada dalam kelompok tiga terbaik ASEAN dan akan menerima pembiayaan penuh daripada Majlis Sukan Negara (MSN),” katanya sambil menambah terdapat 20 atlet lain kini berada dalam Kategori B.
Sukan SEA edisi ke-33 itu dijadual berlangsung dari 9 hingga 20 Disember 2025.
Shahidan turut memaklumkan MSN telah bersetuju melantik enam jurulatih baharu iaitu Andrew Lulham, Jorge Luis Alfaro Quinones, Yunaika Crawford Rojer, Muhammad Hakimi Ismail, Mohd Robani Hassan dan Lo Choon Sieng.