KUALA LUMPUR, 12 Jun- Tiga kelab bola sepak melibatkan Kuala Lumpur City FC (KL City), Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) dan PDRM FC kini sah akan bersaing dalam Liga Malaysia (Liga M) musim baharu.
Ini selepas kelab berkenaan berjaya memperoleh Lesen Kebangsaan daripada Badan Bebas First Instance Body (FIB).
Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif dalam kenyataan di Facebook memaklumkan lesen tersebut diluluskan selepas ketiga-tiga pasukan menghantar dokumen kewangan tambahan, sebelum tarikh akhir yang ditetapkan pada 31 Mei lalu.
Tambah beliau, syarat berkenaan selaras dengan Artikel 8 (I) Peraturan Pelesenan Kelab Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
"Setelah meneliti dan menilai dengan teliti dokumen kewangan tambahan yang dikemukakan itu, FIB telah bersetuju untuk memberikan Lesen Kebangsaan penuh kepada ketiga-tiga kelab tersebut setelah mereka berjaya memenuhi segala keperluan pematuhan yang ditetapkan.
FIB merakamkan penghargaan atas kerjasama serta komitmen tinggi pihak KL City, Kelantan Darul Naim FC dan PDRM FC sepanjang proses ini dan mengucapkan selamat maju jaya dalam saingan Liga Super bagi musim 2025 - 2026", kata kenyataan itu.
Sebelum ini, FIB telah meluluskan pemberian Lesen Kebangsaan kepada lapan pasukan lain meliputi Johor Darul Ta’zim FC (JDT), Selangor FC, Penang FC, Kuching City FC, Sabah FC, Terengganu FC, Sri Pahang FC dan Negeri Sembilan FC.
Sementara itu, dua kelab daripada saingan Liga A1 Semi Pro iaitu Melaka FC dan Imigresen FC turut berjaya mendapatkan Lesen Kebangsaan Luar Biasa.