PENDANG, 12 Jun- Tasik Pendang bakal digegarkan dengan deruman enjin dan aksi mendebarkan menerusi penyertaan 550 bot kawalan jauh dalam Kedah International RC Powerboat Racing 2025, bermula esok.
Kejohanan yang berlangsung selama tiga hari sehingga 15 Jun ini, melibatkan penyertaan dari lapan buah negara.
Menurut pengarah program, Jasmi Harun dalam satu kenyataan, edisi kali ini menyaksikan lonjakan ketara dari segi penyertaan berbanding penganjuran terdahulu, sekali gus mencerminkan pengiktirafan yang semakin tinggi dan prestij yang kian menyerlah bagi kejohanan bertaraf antarabangsa itu.
Tahun lalu, hanya 180 bot dari Malaysia, Thailand dan Singapura yang mengambil bahagian.
Namun, tahun ini jumlah penyertaan meningkat lebih tiga kali ganda kepada 550 bot melibatkan peserta dari Vietnam, Myanmar, Indonesia, Brunei dan Kuwait.
"Peserta tempatan pula hadir dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Kebanyakan mereka merupakan nama besar dalam arena bot kawalan jauh dan teruja untuk berlumba di Tasik Pendang, dianggap antara lokasi terbaik untuk perlumbaan berdasarkan keluasan dan ketenangan airnya.
Dengan kelajuan bot yang mampu mencecah 130 kilometer sejam, pengunjung akan dapat menyaksikan kehebatan peserta mempamerkan aksi saling memotong antara satu sama lain,” kata Jasmi.
Orang ramai dijemput hadir menyaksikan perlumbaan tersebut yang berlangsung dari pukul 8.00 pagi hingga pukul 6.00 petang.
Sementara itu, Pengurus Besar Kedah Tourism, Mohd. Zaidy Omar memaklumkan bahawa kejohanan tersebut merupakan sebahagian daripada pengisian Tahun Melawat Kedah 2025, dan akan diteruskan sebagai acara tahunan.
“Selain perlumbaan bertaraf antarabangsa, pelbagai aktiviti sampingan turut disediakan seperti pameran daripada pelbagai agensi dan jualan produk tempatan.
“Inisiatif ini merupakan antara langkah merancakkan sektor pelancongan di Kedah. Dengan kejayaan penganjuran tahun ini, kita berharap lebih ramai peserta antarabangsa akan menyertai pada tahun hadapan," katanya dalam kenyataan.