fb fb fb fb fb

TPM ucap tahniah kepada Pearly-Thinaah, Sze Fei-Nur Izzuddin, naib juara Terbuka Jepun

Pasangan beregu lelaki dan wanita negara terima ucapan tahniah/Foto FB Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR, 20 Julai - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah dan syabas kepada pasangan beregu wanita negara Pearly Tan-M. Thinaah serta beregu lelaki Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani atas kejayaan merangkul gelaran naib juara di Terbuka Jepun 2025.

Menerusi hantaran di Facebook, Ahmad Zahid berkata aksi penuh semangat juang, disiplin tinggi dan kesungguhan yang dipamerkan mereka menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Teruskan melangkah, teruskan berjuang. Jangan pernah gentar atau berundur. Setiap titik peluh kalian membuka laluan untuk kejayaan yang lebih gemilang.

“Kami semua berdiri teguh di belakang anda. Demi negara, demi Malaysia!,” katanya.

Pada aksi final Terbuka Jepun 2025 hari ini, Pearly-Thinaah muncul naib juara selepas tewas kepada pasangan utama dunia Liu Sheng Shu-Tan Ning dari China dengan keputusan 5-21, 14-21.

Sze Fei-Nur Izzuddin pula tewas kepada pasangan Korea Selatan Kim Won Ho-Seo Seung Jae dengan keputusan 16-21, 17-21.

Selaku naib juara, kedua-dua beregu masing-masing membawa pulang wang kemenangan RM141,000.- BERNAMA

ASHRIQ FAHMY AHMAD