fb fb fb fb fb

SMK Putrajaya Presint 11(1), juara sulung Kejohanan Futsal Circuit Inter-School Putrajaya 2025

Pasukan SMK Putrajaya Presint 11(1)/Foto Futsal Circuit

PUTRAJAYA, 20 JULAI - Pasukan SMK Putrajaya Presint 11(1) juara sulung Kejohanan Futsal Circuit Inter-School Putrajaya 2025, selepas menundukan pasukan setempat, SMK Putrajaya Presint 11(2), 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti.

Perlawanan akhir di Gelanggang Mokhtar Dahari, Kompleks Futsal Presint 18 itu menyaksikan kedua-dua pasukan mempamerkan aksi penuh semangat sepanjang 40 minit permainan.

Separuh masa pertama tamat tanpa sebarang gol walaupun kedua-dua pasukan saling menyerang dengan hebat.

Gol pertama Pasukan SMK Putrajaya Presint 11(2) dijaringkan oleh Umar Farooq minit ke-6, pada separuh masa kedua.

Pasukan SMK Putrajaya Presint 11(1) bagaimanpun bangkit menyamakan kedudukan, 1-1 menerusi jaringan Rizq Kanz minit ke-36.

Keputusan kekal hingga wisel penamat dibunyikan, memaksa perlawanan ditentukan menerusi sepakan penalti.

Kejuaraan sulung kejohanan milik SMK Putrajaya Presint 11(1) apabila penjaga gol pasukan, Adib Amsyar berjaya menyelamatkan satu sepakan penalti.

Jurulatih pasukan SMK Putrajaya Presint 11(1), Mohd Fikri Othman dalam pada itu berkata, pemain-pemain memberikan komitmen sepenuhnya sepanjang perlawanan walaupun berdepan beberapa cabaran taktikal pada awal permainan.

"Pada awalnya, kami menghadapi sedikit kekangan apabila tidak dapat memenuhi jumlah penyertaan. Namun, dengan pemain yang ada, kami berjaya mengatur strategi, mengekalkan pemain yang bermain dengan baik dan membuat pertukaran bagi memastikan stamina murid sentiasa terjaga.

''Ini penting kerana pemain bermain dalam tempoh masa yang panjang, jadi aspek stamina amatlah penting," katanya, selepas perlawanan akhir Kejohanan Futsal Circuit Inter-School Putrajaya 2025 di sini, hari ini.

Beliau berharap momentum kemenangan tersebut dapat dikekalkan dan penganjuran pertandingan diteruskan pada masa akan datang.##

ASHRIQ FAHMY AHMAD