KUALA LUMPUR, 20 Julai - Koryo Taekwondo Club Malaysia cipta kejutan apabila berjaya membawa pulang 53 pingat dengan 26 daripadanya merupakan emas, dalam kejohanan 18th World Taekwondo Culture Expo 2025 yang berlangsung di Muju, Korea Selatan.
Seramai 93 peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah, jurulatih, ibu bapa serta empat orang guru pengiring menyertai kejohanan berprestij yang menghimpunkan lebih 15 negara peserta.
Antara yang mencuri tumpuan, tiga pelajar dari Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Subang yang berjaya membawa pulang pingat emas masing-masing iaitu, Wan Hafizul Hakeem, Alysa Syafiya dan Aneesa Nur Qairena.
Kejayaan luar biasa tersebut membuktikan keupayaan dan potensi besar yang dimiliki oleh atlet muda Koryo, yang dikatakan setanding dengan atlet dari negara-negara taekwondo ternama.
Prestasi luar biasa tersebut turut mencuri tumpuan dan mencetuskan kejutan dalam kalangan peserta antarabangsa.
Menurut Ketua Pasukan, Sir Muhammad Muhiyaddin, kejayaan kali ini merupakan bukti keberkesanan program pembangunan bakat Koryo, apabila ramai dalam kalangan peserta muda merupakan pelapis kepada atlet kelab tersebut mewakili skuad kebangsaan Malaysia.
Barisan jurulatih yang membimbing para peserta terdiri daripada bekas atlet kebangsaan dan jurulatih SUKMA peringkat negeri.
Pasukan dari Koryo sebelum ini pernah menyertai kejohanan yang sama pada tahun 2016 dan kini sekali lagi membuktikan kemampuan apabila berjaya mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia.