LOUDENVIELLE, 19 Julai – Tadej Pogacar semakin hampir menjulang gelaran juara Tour de France buat kali keempat selepas memenangi peringkat ke-13 pada Jumaat .
Pogacar mengungguli ujian masa mendaki sejauh 10.9 kilometer yang mencabar ketahanan para pelumba.
Juara bertahan dari Slovenia itu menunjukkan dominasi mutlak di laluan mendaki sejauh lapan kilometer dengan kecuraman purata 7.9%.
Pogacar mencatat masa 23 minit dan menewaskan pencabar utama dari Denmark, Jonas Vingegaard, dengan perbezaan 36 saat.
Pelumba senegara Pogacar, Primoz Roglic, menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dengan ketinggalan 1 minit 40 saat, manakala pelumba Belgium, Remco Evenepoel, kekal di tempat ketiga dengan masa 2 minit 39 saat.
Selepas meraih kemenangan keempat dalam edisi tahun ini, Pogacar kini mendahului Vingegaard dengan jurang 4 minit 7 saat, dan Evenepoel pula ketinggalan 7 minit 24 saat.
Pelumba Jerman, Florian Lipowitz, terus tampil cemerlang dan kini hanya enam saat di belakang Evenepoel.
Menariknya, Pogacar memilih untuk menunggang basikal biasa bagi ujian masa itu, berbanding Evenepoel dan Vingegaard yang menggunakan basikal khas ujian masa (TT bike) yang lebih berat tetapi lebih aerodinamik.
Namun, keputusan itu ternyata tidak menjejaskan prestasinya.
Pogacar kini mengintai kemenangan peringkat ketiga berturut-turut pada Sabtu dalam peringkat ke-14, yang menyaksikan pelumba menempuh pendakian menakjubkan di Col d'Aspin, Col du Tourmalet, dan Col de Peyresourde sebelum penamat di Luchon-Superbagneres dengan pendakian sejauh 12.4 kilometer (KM). - REUTERS