LONDON, 19 Julai – Petinju Britain, Daniel Dubois percaya kemenangan dalam aksi ulangan menentang Oleksandr Usyk akan menempatkan namanya sebaris dengan legenda tinju dunia seperti Lennox Lewis, Mike Tyson dan Rocky Marciano.
Dubois bakal beraksi dalam pertarungan paling penting dalam kariernya apabila menentang Usyk di London pada Sabtu, dengan misi menjadi juara heavyweight dunia tidak terkalah pertama dari Britain sejak Lennox Lewis.
Pertemuan itu merupakan pertarungan semula kepada pertembungan pada 2023, yang menyaksikan Usyk menewaskan Dubois pada pusingan kesembilan di Poland.
Namun, Dubois kembali ke gelanggang dengan semangat baharu selepas mencatat kemenangan ke atas Jarrell Miller, Filip Hrgovic dan Anthony Joshua dalam tempoh sembilan bulan antara Disember 2023 hingga September 2024.
“Pertarungan ini meletakkan saya sebaris dengan legenda seperti Lennox Lewis, Mike Tyson dan Rocky Marciano. Saya mahu dikenang dalam sejarah," kata Dubois.
Dubois sebelum ini pernah dikecam susulan kekalahan kepada Joe Joyce pada 2020, namun bangkit dengan empat kemenangan berturut-turut sebelum tumpas kepada Usyk.
Mengulas mengenai peluangnya kini, Dubois mengakui perjalanan kariernya penuh cabaran.
“Saya tak pernah bayangkan akan berada di tahap ini, tapi saya selalu percaya. Saya dan ayah ke gim, berlatih, sparring dan saya telah bersedia untuk hari ini sejak sekian lama", ujarnya.
Sementara itu, promoter veteran Frank Warren turut yakin anak buahnya itu kini tampil dengan lebih matang.
“Dulu mereka lawan Daniel budak lelaki, kali ini mereka lawan Daniel lelaki sebenar. Itu perbezaannya,” kata Warren.
“Usyk mungkin yang terbaik dalam generasinya, tapi semua orang terbaik sehingga mereka ditewaskan. Dan saya rasa waktunya sudah tiba", tambahnya. - AFP.
Usyk, juara dunia dari Ukraine, masih belum pernah kalah dalam karier profesionalnya dan memiliki beberapa tali pinggang utama heavyweight yang kini cuba dirampas Dubois. - AFP